PERDANA Menteri Youssef Chahed hari ini memutuskan untuk melarang pemakaian niqab bagi wanita dalam pejabat kerajaan Tunisia atas alasan keselamatan, kata pejabatnya.
Ia berkata Youssef menandatangani pekeliling kerajaan “melarang akses kepada pentadbiran awam dan institusi kepada sesiapa yang menutup wajah, atas sebab keselamatan”.
Larangan terhadap niqab, yang menutup keseluruhan muka kecuali mata, dibuat ketika tahap keselamatan dipertingkatkan susulan serangan bom nekad berkembar pada 27 Jun lalu di Tunis yang menyebabkan dua mati dan tujuh cedera.
Menteri dalam negeri mengarahkan polis pada Februari 2014 untuk meningkatkan pemantauan terhadap pemakaian niqab sebagai sebahagian langkah anti keganasan, bagi mencegah ia digunakan untuk menyamar atau lari daripada pihak berkuasa.
Niqab dan pakaian luar yang menunjukkan ketaatan kepada Islam tidak diterima di bawah rejim autokrat Zine El Abidine Ben Ali tetapi ia mula diterima selepas pemimpin yang sekian lama mentadbir itu digulingkan dalam revolusi Tunisia pada 2011. – AFP, 5 Julai, 2019.
Komen