Maszlee arah siasatan penuh budak maut jatuh bas berlubang


Diyana Ibrahim

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengarahkan siasatan penuh ke atas kematian seorang murid di Machang, Kelantan yang terjatuh dari bas yang lantainya berlubang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2019.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik mengarahkan siasatan penuh ke atas kematian seorang murid di Machang, Kelantan yang terjatuh dari bas yang lantainya berlubang.

Kementerian Pendidikan tidak akan bertolak ansur dalam apa juga isu yang melibatkan keselamatan murid, katanya.

Beliau juga meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang di Kelantan menyediakan laporan menyeluruh kejadian dengan segera.

“Saya ingin mengingatkan semua PPD untuk memastikan program-program yang melibatkan pergerakan murid sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

“Kementerian tidak sesekali akan berkompromi dengan keselamatan murid dan hal berkaitan keselamatan ini sentiasa menjadi keutamaan kementerian,” tambahnya.

Maszlee juga memberi jaminan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan akan dibawa ke muka pengadilan.

Dalam kejadian semalam, Wan Mohammed Adam Mohd Suria,12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang terbunuh di tempat kejadian selepas terjerumus dari bas yang sedang bergerak.

Media melaporkan lantai bas itu reput dan ditutup dengan papan yang ditutup pula dengan karpet.

Bas itu dalam perjalanan membawa rombongan sekolah untuk mengikuti bengkel Bahasa Inggeris selama dua hari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Besut, Terengganu.

Mayat Wang Mohammed Adam dibedah siasat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan dikebumikan di kampungnya di Machang, malam tadi.

Dalam pada itu, Maszlee memberitahu pihaknya sudah mengarahkan bantuan awal kepada keluarga mangsa dengan meminta pihak sekolah membantu pengurusan jenazah dan menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada waris.

Awal hari ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mempersoalkan bagaimana bas sekolah yang uzur dibenarkan beroperasi dan membawa murid ke program rasmi pendidikan. 

Sementara itu, Puspakom berkata pihaknya akan memeriksa bas berkenaan dan memberikan laporannya kepada polis.

“Laporan Puspakom ini dapat membantu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia dalam menjalankan siasatan berkenaan insiden ini dengan lebih mendalam,” katanya agensi itu dalam satu kenyataan malam ini.

Pemeriksaan itu dijalankan pada masa terdekat ini, kata Puspakom. – 5 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen