Yeo tidak perlu melatah, dedah saja dalang pemilik kilang


Diyana Ibrahim

Gerakan Khidmat Malaysia berkata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin perlu segera dedah nama dalang pemilik kilang yang terlibat dengan pencemaran udara di Pasir Gudang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2019.

MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin tidak perlu melatah sebaliknya perlu segera dedah nama dalang pemilik kilang yang terlibat dengan pencemaran udara di Pasir Gudang, kata Khidmat Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia).

Pengarah Khidmat Malaysia Iskandar Abdul Samad berkata walaupun banyak dakwaan yang timbul ketika ini namun menteri itu bertanggungjawab menjadi lebih telus dan menjawab persoalan rakyat.

Katanya, cadangan menutup operasi kilang haram disambut baik tetapi Yeo perlu menjelaskan adakah benar gas toksik yang dilepaskan itu berpunca daripada kilang haram.

“Jika pencemaran udara disebabkan oleh kilang yang berlesen maka menutup operasi kilang haram bukan dilihat sebagai jalan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya menggesa kerajaan untuk lebih telus dan tidak melatah, ini tanggungjawab menteri untuk jawab kepada rakyat.

“Ketika ini mungkin banyak tuduhan timbul tapi ia perkara normal bila rakyat marah. Tolong jangan mengugut rakyat kerana gaji anda dibayar mereka,” katanya.

Iskandar yang juga bekas naib presiden PAS berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Yeo yang berkata akan menutup operasi kilang haram sebagai langkah mengawal kualiti udara.

Beliau berkata Yeo mesti membuktikan kepimpinannya kerana rakyat ketika ini menderita akibat pencemaran udara.

“Sila letak jawatan jika anda (Yeo) tidak mampu menangani tekanan,” katanya.

Pasir Gudang di Johor sekali lagi berdepan dengan pencemaran toksik hanya dalam tempoh empat bulan selepas pertama kali berlaku di Sungai Kim Kim.

Kemarahan penduduk memuncak apabila Yeo memberitahu Parlimen pihak berkuasa masih gagal mencari sumber punca berlakunya pencemaran udara di Pasir Gudang.

Polemik isu itu menyebabkan penduduk Pasir Gudang bertekad mengadakan perhimpunan menuntut jawatan sebenar punca pencemaran udara di kawasan tersebut.

Sebelum ini, kilang kimia di kawasan dikaitkan dengan suaminya.

Dakwaan itu tersebar di media mendakwa suami Yeo adalah ketua pegawai eksekutif bagi syarikat tersebut namun beliau menafikannya.

Sementara itu, satu lagi badan bukan kerajaan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalil menawarkan diri untuk mencari senarai nama kilang beroperasi di Pasir Gudang.

Menerusi Facebook, beliau memohon bantuan orang ramai untuk memberikan informasi mengenai nama kilang tersebut.

“Siapa boleh bantu saya dialu-alukan. Jika tidak dapat semua nama kilang tidak mengapa mohon maklumkan saya satu persatu dan saya akan kumpulkan senarainya,” kata bekas pegawai khas Najib Razak itu. – 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Since the gas has been identified, surely its source can also be identified. Is it a licensed factory? Is there any guarantee that all the licenced factories are angels?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan