MAHKAMAH Indonesia semalam menolak rayuan seorang wanita yang dijatuhi hukuman penjara selepas mendedahkan perbuatan tidak senonoh majikannya sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Mahkamah mengetepikan permohonan itu apabila Baiq Nuril Maknun gagal mengemukakan bukti baharu selepas didapati bersalah melanggar undang-undang kontroversi kerana menyebarkan maklumat tidak senonoh.
Berikutan itu, hukuman denda 500 juta rupiah (RM146,049) dan penjara enam bulan ke atas wanita itu dikekalkan.
Jurucakap mahkamah Abdullah berkata, permohonan semakan penghakiman yang dikemukakan ditolak kerana Baiq melanggar undang-undang dan ia sudah dibuktikan.
Pada 2012, wanita itu merakamkan perbualatan antara seorang pengetua sekolah dan rakannya mengenai butiran seksual secara grafik hubungan luar nikahnya.
Baiq bersetuju menyiarkan rakaman itu selepas rakan sekerjanya yang bertugas di bahagian pentadbiran sekolah meyakinkan beliau untuk berbuat demikian bagi mendedahkan perlakukan tidak senonoh pengetua terbabit.
Rakan sekerja dikatakan pernah berulang kali menolak cubaan pengetua terbabit untuk menjalin hubungan dengannya.
Sebelum ini mahkamah tempatan di Lombok membebaskan beliau atas tuduhan itu namun mahkamah lebih tinggi mengetepikan keputusan itu.
Baiq kemudian didapati bersalah melanggar undang-undang maklumat elektronik.
Sementara itu peguamnya Joko Jumadi berkata, peguamnya kecewa dengan keputusan mahkamah yang merupakan peluang akhir untuk wanita itu mengemukakan rayuan.
“Baiq enggan berhenti dari berjuang kerana jika berbuat demikian, beliau khuatir akan menyebabkan mangsa gangguan lain takut untuk mendedahkan nasib yang menimpa mereka.
“Kami sudah menggunakan segala prosedur perundangan dan kami harap Presiden Joko Widodo akan berbuat sesuatu,” katanya.
Pada November tahun lalu, Presiden Indonesia menyatakan kebimbangan mengenai kes membabitkan Baiq dan berkata sekiranya mahkamah menolak rayuannya, wanita itu boleh memohon pengampunan. – AFP, 5 Julai, 2019.
Komen