SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mempunyai teknik temu bual dan mengumpul maklumat risikan lebih baik, berbanding hanya bergantung pada kaedah lama siasatan, kata ketua pesuruhjaya agensi itu yang baharu Latheefa Koya.
“Ini era teknologi maklumat dan kita perlu bergerak melangkaui kaedah mengumpul maklumat menggunakan taktik kekerasan dan ugutan. Lebih banyak latihan perlu diadakan tentang bagaimana mendapatkan bukti dan maklumat,” katanya di www.MACC.fm, siaran radio agensi anti rasuah itu.
“Dengan cara mengumpul bukti yang lebih baik kita dapat tunjukkan kepada suspek dia tidak ada pilihan kecuali bekerjasama dengan kita.
“Dan ini akan meningkatkan kadar pendakwaan dan kita perlu tunjukkan yang kita bukan hanya mampu tahan orang saja,” katanya dalam temu bual umum terbukanya yang pertama sejak dilantik bulan lalu.
Latheefa, 46, berkata demikian ketika menjawab soalan ketua penerbit MACC Norizan Abdul Samah tentang rancangannya untuk menambah baik operasi agensi anti rasuah itu.
Dalam temu bual selama 40 minit itu, Latheefa berkata salah satu misinya ialah membantu mendidik orang ramai tentang peranan SPRM.
“Ini bukan sekadar agensi untuk mengadu atau tempat lepas geram bagi ahli politik. Saya berharap untuk mendidik masyarakat bahawa peranan SPRM bukan sekadar menahan dan mendakwa tetapi juga mencegah.
“Kita perlu beritahu masyarakat tentang jenis-jenis rasuah yang wujud di negara ini dan akibat rasuah,” katanya yang juga bekas peguam hak asasi manusia. – 5 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen