Taikun arang batu AS antara 7 terbunuh nahas helikopter


Taikun arang batu dari AS Christopher Cline dan enam yang lain maut dalam nahas helikopter di Bahamas awal pagi semalam. – Gambar Facebook, 5 Julai, 2019.

AHLI perniagaan dan taikun arang batu dari Amerika Syarikat (AS) Christopher Cline dan enam yang lain maut dalam nahas helikopter di Bahamas, lapor agensi berita Sputnik.

Polis Diraja Bahamas dimaklumkan mengenai insiden itu pada 2.53 malam waktu tempatan (18:53 GMT) pada Khamis dan helikopter terbabit dalam perjalanan dari pulau Big Cay Cay di Bahamas menuju ke Florida, menurut agensi berita antarabangsa BNO.

Bangkai helikopter itu ditemui di perairan cetek di Lautan Atlantik selepas tiga jam operasi mencari dijalankan.

“Mayat empat wanita dan tiga lelaki dikeluarkan dari pesawat,” kata jurucakap polis Terecita Pinder.

Seorang daripada mangsa dikenal pasti sebagai Christopher Cline. Akhbar Register-Herald mengatakan seorang daripada anak perempuan taikun itu juga berada di dalam helikopter berkenaan.

Identiti lima lagi mangsa masih belum dikenal pasti tetapi menurut polis kesemuanya warga AS. – Bernama, 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen