SEBUAH kesatuan guru mempersoalkan bagaimana sebuah bas sekolah yang uzur dibenarkan beroperasi dan membawa murid ke program rasmi pendidikan, selepas seorang murid mati terjatuh dari bas yang lantainya reput dan berlubang.
Pihak berkuasa perlu membuat siasatan rapi terhadap kejadian di Machang, Kelantan itu, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang.
“Dalam hal ini perlu dibuat siasatan terhadap bas tersebut. Bagaimana sebuah bas yang dalam keadaan uzur itu dibenarkan operasi dan membawa anak-anak pelajar ke program rasmi?” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata setakat pengetahuannya, pihak sekolah telah mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu mendapat kebenaran ibu bapa dan tidak menggunakan kenderaan guru.
Dalam kejadian semalam, Wan Mohammed Adam Mohd Suria,12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang terbunuh di tempat kejadian selepas terjerumus dari bas yang sedang bergerak.
Media melaporkan lantai bas itu reput dan ditutup dengan papan yang ditutup pula dengan karpet.
Bas itu dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dalam perjalanan membawa rombongan sekolah untuk mengikuti bengkel Bahasa Inggeris selama dua hari di Besut, Terengganu.
Seramai 31 murid termasuk mangsa berada di dalam bas semasa kejadian.
Mayat Wang Mohammed Adam dibedah siasat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan dikebumikan di kampungnya di Machang, malam tadi.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan polis mendapati keadaan bas tersebut terlalu uzur dengan lantai yang reput.
Ketika dalam perjalanan juga, tiada seorang pun guru pengiring menemani mereka, kata polis.
Sementara itu, ibu mangsa mahu menyaman mereka yang terlibat jika kejadian menimpa anaknya disebabkan oleh kecuaian mana-mana pihak.
Beliau menggesa siasatan turut diadakan terhadap pihak penganjur, pihak sekolah dan pengusaha bas. – 5 Julai, 2019.
Komen