SEBUAH yayasan yang ditubuhkan untuk membayar pampasan kepada mangsa perhambaan seks pada Perang Dunia Kedua secara rasminya dibubarkan hari ini, kata pegawai Korea Selatan.
Yayasan dengan dana AS$8.8 juta itu ditubuhkan pada 2015 selepas Tokyo dan Seoul sepakat mencari jalan baru berhubung pertikaian mengenai pendudukan Jepun pada 1910-1945.
Wang yang dipersetujui kedua-dua belah pihak ketika itu adalah sebagai penyelesaian akhir dengan memberi pampasan untuk “menenangkan” wanita yang dipaksa menjadi hamba seks ketika Perang Dunia Kedua.
Kira-kira separuh daripada wang tersebut telahpun dituntut oleh beberapa mangsa yang selamat atau ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun, Korea Selatan menegaskan perjanjian pada 2015 itu tidak bermakna Jepun terlepas dari tanggungjawab dari kesalahan masa lampaunya.
Kementerian Kesetaraan Gender, iaitu badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap isu berkaitan hamba seks hari ini berkata yayasan itu telah dibubarkan.
“Kami belum putuskan apa yang perlu dibuat dengan dana yang diberi oleh Jepun,” kata seorang pegawai.
Jepun menggesa Korea Selatan kembali meneruskan perjanjian tersebut.
“Rancangan kerajaan Korea Selatan untuk membubarkan yayasan itu bertentangan dengan perjanjian Jepun-Korea Selatan. Kami sudah berulang kali sebutkan hal ini,” kata Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yasutoshi Nishimura.
Yayasan dibubarkan selepas Tokyo mengenakan sekatan ke atas barangan eksport ke Korea Selatan. – AFP, 5 Julai, 2019.
Komen