SERAMAI 38 wartawan terbunuh di 20 negara dalam tempoh Januari hingga akhir Jun tahun ini, lapor agensi berita Xinhua, memetik Press Emblem Campaign (PEC) yang berpangkalan di Geneva pada Khamis.
Angka itu mewakili penurunan 42% berbanding tempoh sama tahun lalu. PEC menyifatkan penurunan ini sebagai satu perkembangan positif, namun masih terdapat trend peningkatan di dua negara: sembilan wartawan maut dalam tempoh enam bulan di Mexico manakala enam di Afghanistan.
Menurut PEC, kumpulan pengganas di Afghanistan dan kumpulan jenayah di Mexico menjadi dalang utama dalam kes membabitkan kematian petugas media.
“Masyarakat antarabangsa perlu mewujudkan mekanisme bebas yang dapat mengatasi kekebalan, ketika pihak institusi nasional tidak dapat bertindak untuk mengatasi kekurangan dalam usaha pencegahan, perlindungan dan pendakwaan,” kata Setiausaha PEC Blaise Lempen.
Amerika Latin mewakili benua paling terjejas yang menyaksikan 15 terbunuh, selain terdapat peningkatan kes di Timur Tengah akibat konflik di Syria dan Iraq.
PEC menyeru kerajaan, persatuan dan masyarakat turut sama terlibat dalam isu keselamatan wartawan, sekurang-kurangnya bagi mengurangkan separuh daripada jumlah korban petugas media di seluruh dunia, selaras sasaran ditetapkan tahun lepas.
Ditubuhkan pada Jun 2004 oleh kumpulan wartawan antarabangsa, PEC adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai status khas di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Penubuhannya bertujuan mengukuhkan perlindungan undang-undang dan keselamatan wartawan di zon konflik atau sedang menjalankan misi berbahaya. – Bernama, 5 Julai, 2019.
Komen