Al-Jazeera terbit dokumentari hukuman mati


Chan Kok Leong

Dokumentari bertajuk "Malaysia: On Death Row", berkisar tentang pandangan dari keluarga mangsa dan penjenayah berkenaan pemansuhan hukuman mati. – Gambar rakam layar, 5 Julai, 2019.

AL-Jazeera menerbitkan sebuah dokumentari cadangan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mandator bagi 11 jenis kesalahan.

Dokumentari bertajuk “Malaysia: On Death Row”, berkisar tentang pandangan dari keluarga mangsa dan penjenayah berkenaan pemansuhan hukuman mati yang jadi perdebatan hangat.

Dokumentari sepanjang satu jam setengah itu disiarkan pada jam 6.30 pagi tadi, memaparkan kesedihan yang dialami oleh keluarga mangsa bunuh,  Sosilawati Lawiya dan Steven Wong.

Pada 2010, mayat Sosilawati dan tiga individu lagi yang rentung ditemui di sebuah ladang ayam. Mereka sebelum itu dilaporkan hilang.

Polis kemudian mengesahkan mereka dipukul hingga mati sebelum dibakar sehingga rentung sebelum dibuang ke dalam Sungai Morib.

Bekas peguam, N Pathmanaban dan dua pekerja ladang dijatuhi hukuman mati atas jenayah kejam itu.

“Kerajaan patut rasa apa yang kami rasa,” kata anak sulung Sosilawati, Rita kepada wartawan yang menemuramah beliau.

“Semasa mak saya dibunuh, mereka tak terfikirkah yang ada enam anak yang sedang menunggu dia?”

Dokumentari turut memaparkan banduan yang dijatuhi hukuman mati seperti seperti T Adiswaran yang disabitkan bersalah melakukan jenayah bunuh pada 2004.

Keterangan saksi bahawa mereka nampak mayat di bengkel Adisawaran membawa kepada sabitan hukuman mati keatasnya.

Dokumentari yang diterbitkan Al-Jazeera ini boleh ditonton di www.aljazeera.com/programmes/101east/. – 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen