Trump bincang penahanan 2 warga Kanada dengan Xi, kata Trudeau


Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau meminta Presiden AS Donald Trump membangkitkan isu penahanan dua rakyatnya dengan pemimpin China apabila bertemu di sidang kemuncak G20. – Gambar EPA, 5 Julai, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membangkitkan isu penahanan dua warga Kanada dengan Presiden Xi Jinping dalam satu pertemuan baru-baru ini, kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau semalam.

Trudeau sebelum ini mengatakan “yakin” Trump membincangkan dengan Xi mengenai penahanan bekas diplomat Michael Kovrig dan perunding Michael Spavor, yang kini ditahan di China kerana disyaki mengintip.

“Saya boleh mengesahkan Encik Trump bercakap dengan rakan sejawatnya mengenai rakyat Kanada yang ditahan. Ini menjadi perhatian kami di Kanada, tetapi juga kebimbangan terhadap sekutu kita di seluruh dunia,” kata Trudeau pada sidang akhbar di Montreal.

“Saya fikir apa yang kita lihat adalah begitu ramai sekutu yang ambil berat mengenai nasib warga Kanada ini dan bimbang tentang tindakan China terhadap hubungan dengan Kanada. Tindakan yang boleh menjejaskan negara lain juga,” katanya.

Hubungan dengan China bertambah buruk pada Disember selepas pihak berkuasa Kanada menahan Meng Wanzhou, eksekutif tertinggi di Huawei gergasi telekomunikasi China, yang dikehendaki oleh AS atas dakwaan memintas sekatan terhadap Iran.

Sejak itu, China menyekat import produk pertanian Kanada selain menahan dua rakyat Kanada, kata dikatakan Beijing tiada kaitan dengan isu Huawei.

Semasa pertemuan di White House sebelum sidang kemuncak G20, Trudeau meminta Trump membangkitkan isu penahanan itu dengan pemimpin China apabila bertemu di sidang kemuncak itu. Trump dilaporkan berkata akan melakukan apa mampu.

Sementara itu, China awal minggu ini memberi amaran kepada Kanada supaya tidak “naif” dan berfikir tekanan AS dapat membantu menyelesaikan masalah itu. – AFP, 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen