DAP yang majoriti ahlinya adalah masyarakat Cina bakal mencipta sejarah di Johor apabila sayap Pemuda (DAPSY) di negeri itu buat pertama kalinya akan memilih ketua dari kalangan pemimpin Melayu, Sabtu ini.
Setakat ini, hanya dua calon yang bertanding bagi jawatan ketua DAPSY Johor - Marina Ibrahim, 31; dan Exco Belia dan Sukan negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali, 34.
Usaha mengetengahkan pemimpin belia Melayu penting bagi DAP dalam cubaan untuk meraih undi pengundi Melayu dan seterusnya menembusi kubu Umno di Johor.
Marina yang menyertai DAP pada 2016 berkata ini adalah waktu yang tepat bagi DAPSY lebih menonjol dan menyuarakan isu-isu belia memandangkan parti kini sebahagian daripada kerajaan, iaitu di peringkat negeri dan persekutuan.
“Sekarang tak ramai yang tahu tentang DAPSY, iaitu sayap Pemuda DAP,” kata pembantu peribadi kepada Adun Senai Alan Tee itu.
Anak kelahiran Kluang itu berkata sudah sampai masanya sayap Pemuda negeri itu dihidupkan semula selepas beberapa tahun tidak aktif.
Menurutnya, selepas kerajaan bercadang mahu menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, belia kini adalah golongan yang penting bagi pilihan raya akan datang.
“Pengundi muda menjadi segmen penting dalam PRU14 dan pada PRU15 nanti mereka akan menjadi kumpulan yang lebih besar.
“Dengan kemenangan Pakatan Harapan yang tidak dijangkakan pada pilihan raya umum tahun lepas, DAP perlukan bantuan dan sokongan untuk mendekati golongan belia, memahami keperluan dan kehendak mereka,” kata Marina yang pernah bekerja dengan NGO berkenaan masalah belia.
Ditanya mengapa memilih untuk menyertai DAP dan bukan parti lain, Marina berkata ia ada kaitan dengan kenangan ketika beliau masih kecil.
“Mak saya adalah ibu tunggal dan semasa saya kecil, dia terpaksa bekerja di Johor Bahru. Jadi, saya dan adik tinggal dengan datuk dan nenek di estet di Yong Peng.
“Pada masa itu seronok, rakyat Malaysia pada masa itu betul-betul bersatu-padu.”
Marina berkata beliau dan adiknya sering mengikut datuk mereka ke kedai kopi Cina dan melihat hubungan erat antara datuknya dengan rakan-rakan dari masyarakat Cina dan India.
“Kampung kami jauh. Kalau naik teksi, kena turun dekat jalan besar dan berjalan kaki ke rumah. Tetapi selalunya ada saja uncle Cina atau India yang tumpangkan kami naik motor kapcai.”
Tambahnya lagi, DAP mengingatkan tentang hubungan erat antara kaum sewaktu beliau kecil dan inilah masanya untuk melangkah lebih jauh.

Sheikh asal PAS
Seorang lagi calon, Sheikh Umar Bagharib Ali, beliau bukanlah asing dalam politik kalangan belia.
Sebelum menyertai DAP pada 2015, Sheikh menjadi tumpuan apabila mencabar jawatankuasa pusat melawan Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Beliau ketika itu adalah ahli PAS dan merupakan aktivis bagi Persatuan Ummah Sejahtera.
Selepas keluar PAS, Sheikh menyertai DAP dengan matlamat membawa nilai Islam ke dalam parti. Dan sejak itu, belia menonjol dalam parti yang didominasi masyarakat Cina itu. – 5 Julai, 2019.
Komen