ANAK tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz minta dibicarakan bagi lima pertuduhan jenayah pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau dituduh menerima wang haram AS$248 juta (RM1 bilion) menerusi syarikatnya, Red Granite Pictures dan Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.
Kesalahan didakwa dilakukan di City National Bank di Los Angeles dan di Singapura pada 2011 dan 2012.
Riza yang memakai sut hitam, ditemani dua adiknya, Nooryana Najwa Najib dan Norashman Najib yang duduk di galeri awam.
Gopal Sri Ram adalah pendakwa raya khas.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob membenarkan Riza diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan memerintahkan pasportnya diserah kepada mahkamah.
Riza memberitahu hakim beliau tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dilarang meninggalkan negara.
Rozina menolak permohonan peguam bela untuk membayar wang jaminan melalui ansuran dua kali.
Tarikh bagi sebutan kes ditetapkan pada 7 Ogos. – 5 Julai, 2019.
Komen