Mexico dakwa ada konspirasi politik dalangi protes polis


Ratusan polis persekutuan melakukan protes terhadap Pasukan Pengawal Negara, sebuah sebuah pasukan keselamatan yang baru dilancarkan untuk membanteras jenayah dan rasuah kronik di dalam polis. – Gambar EPA, 5 Julai, 2019.

KERAJAAN Mexico berkata pada Khamis terdapat konspirasi politik di sebalik protes pasukan polis persekutuan yang marah dengan perpindahan mereka dalam Pasukan Pengawal Negara baru dibuat Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

Ratusan polis persekutuan menyekat jalan raya dan melakukan demonstrasi di Mexico City dua hari lalu sebagai bantahan terhadap Pasukan Pengawal Negara, sebuah sebuah pasukan keselamatan yang baru dilancarkan, iaitu rancangan Lopez Obrador untuk membanteras jenayah yang semakin menjadi-jadi dan menangani rasuah kronik di dalam polis.

Pegawai polis menuduh kerajaan memotong gaji dan melanggar perlembagaan dengan meletakkan mereka di bawah arahan ketenteraan dalam Pasukan Pengawal Negara.

Lopez Obrador, yang menafikan dakwaan tersebut, menegaskan protes itu dipromosikan oleh “kuasa gelap” dalam politik Mexico.
Beliau bagaimanapun, enggan memberikan sebarang nama.

Tetapi Menteri Keselamatan, Alfonso Durazo berkata “kumpulan kepentingan yang berkaitan dengan rasuah” menyokong protes.

Beliau secara khusus menyebut bekas presiden Felipe Calderon mempunyai hubungan dengan pemimpin protes.

Calderon, pengkritik lantang Lopez Obrador, adalah presiden dari 2006 hingga 2012 bagi Parti Tindakan Kebangsaan (PAN).

“Keadaan ini dieksploitasi oleh pengkritik sistematik kerajaan, dan juga oleh kumpulan berkepentingan yang dikaitkan dengan rasuah dalam polis persekutuan,” kata Durazo pada sidang akhbar.

Beliau menegaskan penyertaan Pasukan Pengawal Negara adalah secara sukarela, tiada pegawai kehilangan gaji atau faedahnya, dan mereka yang ingin bekerja di tempat lain boleh ditugaskan semula ke bahagian lain jika memilih berbuat demikian.

Lopez Obrador secara rasminya melancarkan Pasukan Pengawal Negara dengan 70,000 ahli - dijangka meningkat kepada 150,000 dalam beberapa bulan akan datang, sebahagian besarnya diambil daripada anggota polis dan tentera sedia ada.

Pasukan ini adalah rancangan Lopez Obrador untuk menentang lonjakan jenayah ganas yang dikaitkan dengan pengedaran dadah. Mexico mencatatkan 33,500 pembunuhan pada tahun lepas.

Namun, presiden berdepan kritikan daripada kumpulan hak asasi kerana menggunakan tentera untuk tugas polis awam, menamakan seorang jeneral yang baru bersara untuk memimpin pasukan baru, dan mengerahkannya ke sempadan Mexico untuk membendung pendatang, yang tidak termasuk dalam misi asalnya. – AFP, 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen