AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencabar kerajaan untuk menutup kilang kimia yang menyebabkan pencemaran di kawasannya.
“Sekarang saya cabar mereka tutup kilang. Baru-baru ini ada satu atau dua yang ditutup,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Hassan berkata, terdapat peruntukan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat yang ingkar.
“Rakyat perlu didahulukan sebelum keuntungan,” kata Hassan yang juga seorang peguam.
Sementara itu, berhubung sama ada kenyataannya yang kritikal terhadap kerajaan akan memberi kesan terhadap kedudukannya sebagai ahli Parlimen di pihak kerajaan, Hasan berkata, keutamaannya adalah kebajikan rakyat.
“Saya mewakili rakyat. Saya tidak kisah, Jika kamu ikut kenyataan saya…ia tidak baik dengan menteri dan exco,” katanya.
Sementara itu, Hassan berkata kerajaan boeh pertimbangkan bayaran pampasan kepada mangsa termasuk kepada Irfan Wafiy Idham Wazir.
Irfan disahkan positif Myokymia, dipercayai setelah terdedah dengan pencemaran toksik Sungai Kim-Kim.
Kini pergerakan kanak-kanak berusia 12 tahun itu terjejas.
Nasibnya menjadi tumpuan selepas bapanya meluahkan kekecewaan pada satu sesi town hall antara Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan pemain industri di Pasir Gudang. – 4 Julai, 2019
Komen