BERIKUTAN kecewa kerana tindakan yang lambat diambil berhubung kes pencemaran kimia di Pasir Gudang, penduduk kini bangkit bersama untuk mengadakan bantahan terhadap pihak berkuasa.
Mereka merancang untuk menganjurkan perhimpunan di Menara Aqabah yang terletaknya Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk menuntut jawapan, yang dakwa mereka masih tidak diberikan oleh pihak berkuasa negeri.
Jawatankuasa bertindak Pasir Putih dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Pasir Putih sedang cuba untuk memaksa pihak kerajaan negeri untuk memberi jawapan apa sebenarnya yang berlaku di kawasan itu dan apa yang menyebabkan berlakunya pencemaran.
Mereka turut menuntut pampasan dan kebajikan perubatan untuk anak-anak mereka. Mereka telah menghantar surat kepada pihak kerajaan negeri pada Mac ketika anak-anak mereka terkena gelombang pertama pencemaran pada krisis Sungai Kim Kim.
Timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak Pasir Putih Rafea Abdullah memberitahu The Malaysian Insight perhimpunan itu akan diadakan seawal minggu depan.
“Ketika kami terkena pada Mac semasa insiden Sungai Kim Kim, kami ada menghantar surat kepada kerajaan negeri namun masih belum ada maklum balas.
“Kami terpaksa mengambil tindakan ini kerana kerajaan negeri masih berdiam diri.
“Ibu bapa sangat kecewa dan mahu tahu apa yang berlaku di sini,” kata Rafea.

Kebimbangan mereka semakin memuncak semalam apabila menteri Yeo Bee Yin memberitahu Parlimen pihak berkuasa masih tidak dapat mengesan punca kes terbaharu pencemaran di Pasir Gudang kerana ujian tksikologi gagal menunjukkan sebarang pencemaran.
Menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim itu memberitahu Parlimen bahawa insiden Sungai Kim Kim berbeza daripada kes terbaharu ini.
Beliau berkata, pada insiden pertama, pencemaran dikenal pasti di sumbernya dan ditemui dalam sampel darah mangsa sepadan dengan model sebaran udara yang menyebarkan gas mengikut arah dan kelajuan angin.
“Tetapi dalam kes sekarang ini, lokasi kesnya adalah jauh. Ujian simulasi ke atas mangsa tidak dapat mengesan sumber pencemaran,” tambah menteri itu.
Ketika insiden Sungai Kim Kim, 6,000 mangsa terdedah dengan pencemaran bahan buangan kimia yang dibuang di sungai, sementara dalam kes terbaharu, lebih 700 orang kebanyakannya pelajar sekolah dirawat kerana masalah pernafasan yang dipercayai berpunca daripada kilang kimia di kawasan itu.
Rafea berkata, mereka akan meengumpulkan ibu bapa dan kehadiran dijangka lebih 300 orang pada perhimpunan itu.

“Kami akan kumpulkan penduduk dengan penyertaan badan bukan kerajaan. Kami berharap dapat berhimpun lebih ramai.”
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Pasir Putih Ahmad Yusoff Suparman berkata, beliau juga akan menyertai perhimpunan itu.
“Kami akan bincangkan isu ini dengan ibu bapa tidak lama lagi.
“Kami kecewa kerana kurang menerima maklumat daripada pihak berkuasa.
“Kami mahu suara kami didengar dan kami mahu kerajaan negeri dengar apa yang ibu bapa mahu katakan,” kata Ahmad Yusoff.
Tambah beliau, ibu bapa masih tidak yakin dengan kerajaan negeri dan ada sesetengah dari mereka berhenti menghantar anak ke sekolah.
“Kira-kira 50 pelajar tidak hadir ke sekolah sejak insiden itu,” katanya.
Katanya, sebagai langkah pencegahan, ibu bapa dan guru-guru sentiasa bersedia setiap pagi untuk memeriksa kelas di tingkat tiga dan empat.
“Di sini paling ramai murid terjejas. Sekiranya ada sebarang bau atau wasap kami akan pindahkan pelajar ke tingkat bawah,” katanya. – 5 Julai, 2019.
Komen