MENTERI Industri Utama Teresa Kok akan mengadakan pertemuan dengan kesemua pihak sekolah antarabangsa termasuk sekolah yang didakwa menganjurkan persembahan menyokong kempen anti kelapa sawit.
Beliau tidak menyatakan bila pertemuan itu akan dibuat sebaliknya mengatakan ia akan diadakan tidak lama lagi bagi menjelaskan isu-isu berkaitan kelapa sawit.
“Saya akan berjumpa dengan mereka. Saya tidak akan ambil sebarang tindakan… sebenarnya saya tidak boleh pun ambil sebarang tindakan.
“Tetapi apa yang kita harapkan ialah untuk untuk berhubung dengan sekolah antarabangsa ini. Kita banyak bekerjasama dengan sekolah untuk jalankan kempen (menyokong kelapa sawit),” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Dalam satu kenyataannya awal hari ini, Kok mahu satu dialog terbuka dengan semua sekolah antarabangsa membincangkan industri minyak sawit.
Beliau membuat kenyataan itu susulan kritikannya terhadap sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur yang didakwa menyokong kempen anti minyak sawit.
Beliau juga mendakwa beberapa sekolah antarabangsa enggan membenarkan pegawainya menganjurkan kempen kesedaran minyak kelapa sawit kepada pelajar mereka.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Amin Senin berkata sekolah berkenaan akan disiasat kerana menyebarkan “propaganda” mengenai minyak sawit.
Dalam kenyataannya itu, Kok menjelaskan kritikan beliau bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara kebebasan namun hanya luahan kecewa apabila usaha kerajaan mempromosi kempen kelapa sawit tidak mendapat sokongan.
Industri minyak sawit negara berdepan krisis apabila Parlimen Kesatuan Eropah (EU) meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030.
Pada masa sama, Kok juga berkata Malaysia akan terus berhubung dengan pemegang kepentingan EU untuk memerangi dakwaan tidak benar berhubung industri kelapa sawit.
Jelas beliau, pihaknya meletakkan sasaran supaya kesemua pekebun kecil memohon Pensijilan Kelapa Sawit Malaysia RSPO.
Katanya pensijilan RSPO amat penting supaya dapat memberi mesej kepada dunia bahawa industri kelapa sawit merupakan industri yang mapan dan pada masa sama tidak memusnahkan hutan dan habitatnya.
Kerajaan juga akan meneruskan lobi mempertahankan minyak kelapa sawit di Parlimen Eropah namun fokus utama adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemain industri tempatan.
“Parlimen EU akan bermula pada September tapi saya akan pergi pada November ini dan di sana akan jumpa dengan ahli parlimen baru dan pesuruhjaya untuk memulakan lobi baru.
“Tapi sebelum ini kita mulakan lobi saya fikir kita kena lakukan perkara yang betul dulu ke atas industri kita, kita mesti walk the talk (buat apa yang kita kata). Sebab itu kita berharap dapat sasarkan seratus peratus RSPO,” katanya.
Katanya, ketika ini jumlah pekebun kecil yang mendapatkan RSPO hanya 36% di seluruh negara. – 4 Julai, 2019.
Komen