POLIS Hong Kong menahan sekurang-kurangnya 12 penunjuk perasaan termasuk wanita, susulan “insiden ganas” yang tercetus semasa protes anti kerajaan, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan.
Menurut akhbar dalam talian Hong Kong Free Press, mereka yang ditahan berumur antara 14 hingga 36 tahun.
Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya mengadakan perhimpunan menyalahi undang-undang, menyerang seorang pegawai polis dan memiliki senjata api.
Protes yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu itu, kerana membantah pindaan baharu dalam rang undang-undang ekstradisi kerajaan, yang jika diluluskan, akan membenarkan pelarian dipindah ke kawasan di mana Hong Kong tidak mempunyai bidang kuasa atau mencapai sebarang persetujuan.
Penunjuk perasaan menuntut kerajaan menarik balik pindaan tersebut, namun tuntutan itu tidak dilayan pihak pemerintah.
Pada 1 Julai, penunjuk perasaan menyerbu Majlis Undangan Negeri Hong Kong, ketika wilayah autonomi itu meraikan ulang tahun ke-22 penyerahan bekas tanah jajahan British ke China. – Bernama, 4 Julai, 2019.
Komen