Malaysia Baru bawah Pakatan lebih ketat, kata Najib


Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional lebih bertolak ansur berbanding kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Julai, 2019.

NAJIB Razak hari ini menyelar Pakatan Harapan yang menyifatkan Malaysia kini lebih terbuka dan bebas di bawah pentadbiran kerajaan baru itu.

“Banyak sangat cakap tentang Malaysia Baru tapi kita tak nampak pun ia dilaksanakan. Lebih ketat lagi ada lah,” kata Najib.

Bekas perdana menteri itu bimbang permohonannya untuk menangguh perbicaraan kes SRC International yang sedang berjalan ditolak supaya beliau dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat. Terutamanya, ketika perbahasan dan undian bagi rang undang-undang pindaan menurunkan had umur mengundi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu menolak permohonan Najib untuk menangguh perbicaraan. Beliau bagaimanapun memfaikan permohonan keputusan mahkamah itu, semalam.

Najib berkata kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) lebih bertolak ansur berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Semasa BN dulu, kita agak liberal. (Mendiang) Karpal Singh dapat semua peluang. Mahkamah susun tarikh untuk disesuaikan walaupun ketika beliau jadi peguam, bukan sahaja semasa beliau adalah tertuduh,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, beliau mempunyai hak untuk menjalankan tugasnya sebagai ahli Parlimen dan hanya hakim yang boleh menentukan perkara itu, bukan peguam negara.

“Walaupun hakim yang akan buat keputusan, AG (peguam negara) terus bantah. Saya rasa kalau AG tak bantah, tak ada sebab mengapa saya tidak boleh guna hak saya sebagai ahli Parlimen.

“Sudah tentu, pindaan Perlembagaan perlu majoriti dua pertiga, bermakna setiap ahli Parlimen mesti hadir. Itu hak setiap ahli Parlimen dan sudah tentu mahkamah boleh sesuaikan,” kata Najib. 

Perbicaraan Najib bagi kes SRC International bersambung Isnin. – 4 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen