RUU mansuh hukuman mati dibentangkan minggu depan


Ragananthini Vethasalam

Menteri undang-undang Liew Vui Keong berkata kertas kerja pemansuhan hukuman mati akan dibentangkan kepada Kabinet esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2019.

RANG undang-undang (RUU) untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka dibentangkan minggu depan selepas kertas kerja berkenaan perkara itu dibawa ke Kabinet esok, kata menteri undang-undang Liew Vui Keong.

Liew berkata persediaan untuk membentangkan RUU itu akan bermula sebaik saja kertas kerja untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan dibentangkan esok.

Bunuh, rompakan bersenjata dan kesalahan terhadap raja dan negara antara 11 kesalahan itu.

Bagaimanapun, kesalahan membabitkan dadah tidak akan termasuk dalam 11 kesalahan itu kerana ia terletak di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Liew berkata hukuman mati mandatori bagi kesalahan yang dikatakan itu akan ditukar kepada penjara seumur hidup atau 30 tahun.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada budi bicara hakim.

“Hakim akan perlu mempertimbangkan pelbagai keadaan ketika rayuan sebelum beliau dapat membuatkan keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara 30 tahun atau seumur hidup tanpa parol.” – 4 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen