KECEDERAAN yang dialami anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim sepatutnya diperiksa oleh pakar patologi klinikal, kata Prof Dr Shahrom Abd Wahid.
Perunding kanan patalogi forensik di United Kingdom itu berkata pihak berkuasa tidak sepatutnya menunggu bedah siasat untuk menyiasat kecederaan Adib.
“Bukan post mortem (bedah siasat). Siasatan sepatutnya dibuat sejak awal lagi.
“Apabila kejadian berlaku mereka (pihak berkuasa) patutnya panggil pakar patologi klinikal.
“Macam mana mereka nak cari objek (yang mencederakan Adib) kalau tak tahu puncanya?” kata Dr Shahrom ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini.
Saksi ke-29 inkues menentukan punca kematian Adib itu mmeberitahu pendakwa raya, Faten Hadni Khairuddin pemeriksaan oleh pakar patologi klinikal perlu dalam siasatan.
“Ini kerana pakar patologi akan memeriksa untuk menentukan punca Adib cedera.
“Sama ada disebabkan oleh kenderaan yang dia naik atau objek yang ada di kawasan sekeliling. Ini akan memberi gambaran kepada pegawai penyiasat apa yang perlu dicari.”
Semalam, Dr Shahrom ketika memberi keterangan berkata metodologi yang diguna pakai pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam eksperimen untuk mengetahui punca kematian Adib adalah salah.
“Orang yang buat eksperimen ini tiada pengalaman, sebab metodologinya salah.
“Untuk kita buat eksperimen bukan main suka-suka…dia kena tahu konsepnya dan dalam konsep ini kena tahu objek atau bahagian mana yang paling bersentuhan dengan si mati (yang menjadi punca kecederaan di bahagian dada kanan mangsa),” katanya dipetik Bernama.
Dr Shahrom juga berpendapat bahawa laporan mengenai punca kematian Muhammad Adib yang dikemukakan oleh Pakar Forensik HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi juga tidak lengkap. – 4 Julai, 2019.
Komen