JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan pelantikan bekas pegawai kanan Najib Razak, Iskandar Mohd Kaus sebagai pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) ditarik balik.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dollah berkata keputusan menarik balik pelantikan itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira beberapa perkara yang berbangkit.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut “perkara berbangkit” berhubung pelantikan bekas ketua setiausaha sulit Najib itu.
“Kita sahkan kita dah tarik balik… tarik balik lantikan beliau, beliau kembali ke tempat asal,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Persidangan Perkhidmatan Awam 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Intan melalui akaun Facebook rasminya mengalu-alukan pelantikan Iskandar sebagai pengarah baharu, yang berkuat kuasa pada 1 Julai.
“Kita ambil kira semua perkara yang dibangkitkan. Pada awalnya kita merasakan bahawa pegawai selepas satu tahun lebih dan pegawai itulah sudah bersedia untuk (berkhidmat).
“Kita adalah profesional. Kita mahu berkhidmat untuk kerajaan pada hari ini.
“Tetapi mengambil kira pandangan pandangan itu, kita menarik balik keputusan (melantik beliau),” katanya.
Borhan menjelaskan pengarah baharu Intan akan diumumkan dalam waktu terdekat.
“Bila-bila masa sahaja (akan diumumkan). Boleh jadi minggu depan.
“Kita akan adakan mesyuarat jawatankuasa kemungkinan minggu depan dan kita pun sudah ada calon-calon (untuk jawatan pengarah Intan),” katanya.
Pada Oktober 2016, Iskandar dilantik sebagai ketua setiausaha sulit Najib, menggantikan Shukry Mohd Salleh.
Sebelum itu, beliau merupakan timbalan ketua setiausaha sulit perdana menteri dan mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam lebih 20 tahun.
Iskandar menyertai khidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada Mac 1994 dan pernah menduduki beberapa jawatan seperti timbalan pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (Mampu) serta timbalan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perundangan dari Universiti Leicester, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Kajian Pertahanan dari Universiti New South Wales, Australia. – 4 Julai, 2019.
Komen