Mexico selamatkan 25 mangsa culik di Cancun


Anggota keselamatan berkawal di sebuah pusat panggilan di bandar peranginan Cancun susulan 25 orang diculik beramai-ramai. – Gambar AFP, 4 Julai, 2019.

PIHAK berkuasa Mexico berkata mereka semalam membebaskan 25 individu yang diculik dari pusat panggilan di bandar peranginan Cancun dalam satu kes pertikaian antara dua rakan kongsi yang memiliki perniagaan itu.

“Seramai 25 orang yang diculik diselamatkan dalam keadaan baik,” kata Ketua Polis Quintana Roo, Alberto Capella di Twitter.

Pihak berkuasa berkata penculik tiba di pusat panggilan itu menggunakan dua van pada petang Selasa dan menculik mangsa beramai-ramai, tanpa menggunakan paksaan.

Siasatan awal mendapati penculikan itu mungkin berkaitan dengan pertikaian antara dua pemilik bersama perniagaan itu, salah seorang daripadanya didakwa tidak melayan pekerja dengan baik dan gagal membayar gaji.

Pusat panggilan itu yang tidak terletak berhampiran kawasan hotel di pantai popular di situ, khusus dalam perkhidmatan jualan percutian.

Hampir dengan Playa del Carmen dan Tulum, Cancun menarik jutaan pelancong setiap tahun dengan air lautnya yang biru dan pantai berpasir putih.

Rantau itu menyaksikan peningkatan jenayah keganasan sejak dua tahun lalu, kebanyakannya berkaitan dengan pergaduhan antara geng dadah. – AFP, 4 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen