FACEBOOK kembali pulih sepenuhnya pada petang Rabu selepas gangguan pada semua perkhidmatannya yang menjejaskan pengguna di pelbagai bahagian di dunia.
Perkhidmatan pemantauan dalam talian DownDetector melaporkan lebih awal gangguan yang bermula sekitar jam 1200 GMT dan menjejaskan Facebook serta perkhidmatan Instagram dan WhatsApp.
“Isu itu sudah diselesaikan dan kita sepatutnya kembali 100% untuk semua orang,” kata syarikat tersebut di Twitter pada 0006 GMT Khamis, sambil menambah mereka kesal dengan segala kesulitan.
Jurucakap Facebook, yang juga bercakap bagi pihak Instagram dan WhatsApp, menjelaskan “operasi penyelenggaraan rutin” secara tidak sengaja mencetuskan pepijat yang menjadikannya sukar bagi pengguna untuk memuat naik atau menghantar foto serta video, lapor media AS.
#Facebookdown dan #instagramdown menjadi trending di Twitter ketika pengguna di seluruh dunia melaporkan aplikasi berkenaan tidak berfungsi.
Menurut DownDetector, ribuan pengguna di seluruh dunia melaporkan gangguan, dengan Eropah dan Amerika Utara paling banyak terlibat. Pengguna individu dan juga perniagaan serta organisasi juga turut terjejas.
“Ya, kami terjejas oleh #instagramdown,” tulis CIA di Twitter.
Awal tahun ini, gangguan yang berlangsung selama 24 jam dialami perkhidmatan Facebook di dikatakan berpunca daripada “perubahan konfigurasi pelayan.”
Gangguan pada 13 Mac dipercayai merupakan yang terburuk bagi gergasi Internet, yang mencapai kira-kira 2.7 bilion orang dengan rangkaian sosial utamanya, aplikasi Instagram dan pesanan.
Syarikat itu tidak segera bertindak balas kepada pertanyaan AFP pada Rabu. – AFP, 4 Julai, 2019.
Komen