CALIFORNIA semalam menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) mengharamkan diskriminasi kaum berdasarkan gaya rambut, meluluskan undang-undang untuk membenarkan mereka yang mempunyai rambut afro dan pilinan (dreadlock) di semua sekolah dan pejabat.
Undang-undang bertujuan untuk melindungi hak orang kulit hitam Amerika memutuskan potongan rambut sendiri, dan diluluskan sebulat suara oleh kedua-dua dewan negeri.
Ia berkuatkuasa pada 1 Januari.
Undang-undang itu diperkenalkan oleh Senator Los Angeles Demokrat Holly Mitchell, yang merupakan seorang kulit hitam dan sering memakai microbraids.
“Undang-undang ini melindungi hak penduduk kulit hitam California yang memilih gaya rambut semula jadi mereka, tanpa tekanan untuk mematuhi norma Eurocentric,” kata senator negeri itu.
“Bagi kami, ia adalah simbol diri kami,” tambahnya, menerangkan keputusannya sendiri untuk mengadaptasi gaya rambut sebagai sebahagian daripada “pernyataan sosial dan politik kepada dunia luar.”
Gabenor California, Gavin Newsom, yang menandatangani rang undang-undang tersebut, bercakap mengenai seorang pelajar sekolah tinggi yang dipaksa pada Disember lalu memotong rambut pilinannya sebelum pertandingan gusti atau dibatalkan penyertaan.
Pelajar berkenaan dipaksa membuat pilihan sama ada untuk “kalah pertandingan olahraga atau kehilangan identitinya,” kata Newsom.
Menurut teks rang undang-undang, rambut “kekal menjadi sumber penyebaran diskriminasi kaum dengan akibat ekonomi dan kesihatan yang serius, terutama bagi individu kulit hitam.”
Majikan masih dibenarkan meminta pekerja mengenakan syarat gaya rambut demi keselamatan atau alasan kebersihan.
New York City mengguna pakai undang-undang serupa pada awal tahun ini. – AFP, 4 Julai, 2019.
Komen