SEBANYAK 45,000 tong wiski jenama Jim Beam musnah dalam kebakaran selepas gudang minuman keras itu dipanah petir di Kentucky, kata syarikat induk berkenaan dalam satu kenyataan semalam.
“Gudang yang musnah dalam kebakaran itu mengandungi 45,000 tong wiski Jim Beam yang belum matang,” kata syarikat Beam Suntory menerusi Twitter.
Menurut kenyataan itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden yang disahkan berpunca daripada panahan petir.
Penggemar wiski bagaimanapun tidak perlu panik kerana kemusnahan 45,000 tong minuman keras itu hanya sejumlah kecil daripada anggaran pengeluaran 3.3 juta dari gudang mereka di Kentucky, sekali gus tidak menjejaskan bekalan sedia ada.
“Berpandukan kepada usia minuman berkenaan, kebakaran ini tidak menjejaskan bekalan Jim Beam untuk pengguna,” kata syarikat itu.
Suntory Holdings membeli Beam Inc dengan nilai AS$16 bilion (RM66.2 bilion) iaitu antara pemilikan luar negara terbesar pernah dibuat firma Jepun.
Beam menjual pelbagai jenis minuman keras selain wiski selepas bermula sebagai sebuah perusahaan keluarga kecil di Kentucky. – AFP, 4 Julai, 2019.
Komen