TABUNG Kewangan Antarabangsa pada Rabu meluluskan AS$6 bilion, pinjaman selama tiga tahun untuk Pakistan bagi membantu ekonomi negara Asia Selatan itu.
Dengan kelulusan Lembaga IMF, dana itu mengeluarkan AS$1 bilion kepada Pakistan serta-merta dan daripada rakan kongsi antarabangsa yang lain kira-kira AS$38 bilion dalam tempoh program.
IMF berkata dalam satu kenyataan, dana bertujuan “menyokong program pembaharuan ekonomi pihak berkuasa” dan membantu “mengurangkan kelemahan ekonomi dan menjana pertumbuhan yang mampan dan seimbang.”
Dana itu akan mengkaji semula prestasi Pakistan secara suku tahunan selama lebih 39 bulan, pemberian berperingkat bantuan tambahan dari semasa ke semasa.
Kerajaan bersetuju dengan program pinjaman bulan lalu dan mengumumkan rancangan untuk mengurangkan perbelanjaan sivil dan membekukan perbelanjaan ketenteraan sambil berjanji menaikkan pendapatan bagi membendung defisit fiskal serta berjanji untuk mengumpul cukai sebanyak 5.5 trilion rupee (AS$36 bilion).
“Pakistan menghadapi cabaran ekonomi yang signifikan susulan keperluan fiskal dan kewangan yang besar dan pertumbuhan yang lemah dan tidak seimbang,” kata ketua IMF, David Lipton dalam satu kenyataan.
Walaupun Lipton berkata ia akan menjadi kunci kepada pihak berkuasa untuk mengurangkan hutang awam yang besar dan meningkatkan disiplin fiskal, dengan kadar kemiskinan hampir 30%, katanya Pakistan perlu meningkatkan sumber untuk membantu segmen masyarakat yang termiskin.
“Melindungi yang paling lemah daripada kesan pelarasan dasar akan menjadi keutamaan penting,” katanya.
Laporan IMF berkata ekonomi Pakistan berada pada “keadaan kritikal,” disebabkan oleh “legasi dasar ekonomi yang salah, termasuk defisit fiskal yang besar, dasar kewangan longgar, dan mempertahankan kadar pertukaran yang lebih tinggi.”
Dasar tersebut memacu pertumbuhan jangka pendek dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi merosakkan prestasi bajet dan menambah hutang. – AFP, 4 Julai, 2019.
Komen