26 maut bot nelayan karam di Honduras


Pihak berkuasa Honduras menggantung permit pelayaran untuk bot sehingga tiga tahun kepada pemilik bot yang membawa terlalu ramai nelayan. – Gambar EPA, 4 Julai, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 26 orang maut pada Rabu apabila bot nelayan dinaiki mereka karam di pantai Caribbean Honduras, kata pihak tentera negara itu.

Jurucakap angkatan tentera Jose Meza mengatakan, bagaimanapun 47 orang terselamat ketika kapal itu tenggelam di kawasan pesisir pantai Mosquitia.

Meza berkata bot “Wallie,” berlayar dari Cabo Gracias a Dios - di kawasan paling timur negara yang bersempadan dengan Nicaragua - dipenuhi nelayan selepas musim larangan menangkap udang kara berakhir.

Bot tenggelam tanpa diketahui puncanya berhampiran Cayo Gorda, sebuah pulau kecil di timur laut yang menjadi tempat berlepas mereka.

Meza menambah mayat dan mangsa yang selamat akan dibawa ke Puerto Lempira, bandar utama di Honduras timur.

Beberapa jam sebelum “Wallie” tenggelam, satu lagi bot nelayan yang terlebih muatan kawasan yang sama turut karam.

Meza berkata 40 orang berjaya diselamatkan dari bot itu, yang mempunyai kapasiti untuk membawa 31 orang.

Ketua marin Honduras, Juan Carlos Rivera, memberitahu televisyen HCH bahawa laporan dari kawasan terpencil tidak lengkap, tetapi pakar akan mula menyiasat apa yang terjadi untuk mencegah kemalangan maut seperti itu terjadi lagi.

Rivera berkata pihak berkuasa menggantung permit pelayaran untuk bot sehingga tiga tahun kepada pemilik bot yang membawa terlalu ramai nelayan.

Kapten “Wallie,” Austin Hyalock Almendares, sempat menghantar SOS sebelum maut, laporan media tempatan melaporkan. – AFP, 4 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen