Tambang naik, masa menunggu lebih lama selepas 12 Julai, kata operator e-hailing


Ragananthini Vethasalam

Peratusan kenaikan tambang hanya dapat dipastikan selepas jumlah penurunan pemandu e-hailing dipastikan. – Gambar AFP, 4 Julai, 2019

KADAR tambang akan meningkat dan masa menunggu lebih lama berikutan kekurangan pemandu susulan langkah kerajaan mewajibkan mereka memiliki lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) berkuatkuasa 12 Julai ini, kata operator.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Selasa lalu berkata, hanya 10,151 pemandu e-hailing yang lulus ujian lesen PSV setakat 30 Jun.

Angka itu mewakili kira-kira 62% daripada 16,338 calon yang menduduki ujian itu.

Pengasas MyCar Mohd Noah Maideen memberitahu The Malaysian Insight kekurangan pemandu dijangka berlaku selepas undang-undang itu dikuatkuasakan. 

Kadar tambang akan diselaras mengikut jumlah pemandu yang ada. 

“Katakan jumlah pemandu di jalan raya atau mereka yang tersedia semakin kurang, secara automatik permintaan akan lebih tinggi. Sudah pasti harga akan diselaras.”

Bagaimanapun katanya, peratusan kenaikan tambang hanya dapat dipastikan selepas jumlah penurunan pemandu dipastikan. 

Senada dengan Noah, ketua pemasaran JomRides Musfaizal Mustafa berkata, kenaikan tambang perkata biasa sekiranya tidak cukup pemandu untuk memenuhi permintaan. 

Beliau bagaimanapun berkata senario itu tidak berlaku pada JomRides kerana kadar tambangnya dikira berdasarkan keadaan trafik dan jarak. 

Daripada 165,000 pemandu e-hailing di pasaran, hanya 16,000 sudah berdaftar untuk mengambil ujian PSV dan hanya 10,151 yang lulus. Ini kata Musfaizal, merupakan petunjuk bahawa akan berlaku kekurangan pemandu. 

Pelanggan juga, kata operator, terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kenderaan kerana ketiadaan pemandu. 

Musfaizal juga berkata operator masih tidak pasti apa tindakan yang akan diambil pihak berkuasa ke atas pemandu yang tidak memiliki PSV menjelang 12 Julai. 

“Sebenarnya, tiada pengesahan atau hitam putih sama ada pemandu akan disekat atau aplikasi akan diharamkan.

“Saya pasti akan ada cara untuk menghalang pemandu yang tidak memenuhi syarat untuk memandu,” katanya. 

Noah berkata, MyCar sedang menarik pemandu teksi untuk menyertainya bagi mengatasi kekurangan pemandu. 

“Kakitangan saya sedang berusaha untuk mencari pemandu teksi yang mahu menyertai kami.”

Tambahnya, syarikat itu juga sedang berusaha untuk mendapatkan lesen PSV kepada pemandu seramai mungkin sebelum tarikh akhir. 

Beliau juga berkata masalah operasi juga dijangka sementara dan akan kembali normal. 

Beliau turut menggesa pelanggan agar memahami situasi kerana operator perlu membuat pelarasan operasi mengikut undang-undang. – 4 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen