9 pembangkang Bangladesh dihukum mati


SEMBILAN aktivis pembangkang dijatuhi hukuman mati hari ini atas kesalahan merancang serangan ke atas kereta api yang membawa Perdana Menteri Sheikh Hasina 25 tahun yang lalu, kata pendakwa raya.

Pendakwa raya, Akhtaruzzaman Mukta berkata Mahkamah Bangladesh turut menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas 25 lagi aktivis dari parti pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), manakala 13 lagi dihukum penjara 10 tahun.

“Tiga puluh empat pesalah hadir ketika mahkamah jatuhkan hukuman. Yang lain sudah bertahun-tahun melarikan diri,” katanya.

Ketua parti BNP, Khaleda Zia dipenjarakan tahun lepas atas kesalahan rasuah. Penyokong beliau menyifatkan keputusan mahkamah hari ini sengaja untuk melumpuhkan parti.

“Ini kes yang diada-adakan dan keputusan mahkamah hanya satu wayang,” kata jurucakap BNP, Rizvi Ahmed sambil menambah kerajaan sengaja mahu  menyuntik rasa takut dalam kalangan pembangkang.

Pendakwa raya berkata pada 1994, aktivis BNP menembak sebuah kereta api yang sedang membawa Hasina (ketika itu pembangkang) dan menyerang dengan koktel molotov sebaik tiba di Stesen Kereta Api Iswardi. Hasina ketika itu dijadualkan akan menyertai satu perhimpunan. – AFP, 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen