KENYA akan menganjurkan Festival Kopi, Teh dan Coklat (CTC) sedunia dari 22 hingga 24 November, lapor agensi berita Xinhua memetik pihak penganjur pada Selasa.
Pengurus besar Four and One Worldwide Kenya Obed Mutua dalam satu kenyataan berkata, acara itu juga dikenali ‘The Journey of Raste’, dijangka disertai lebih 40,000 pengunjung.
Pelbagai aktiviti disediakan antaranya bengkel latihan dan interaktif, makmal inovasi dan persembahan secara langsung, katanya.
“Kenya adalah negara Afrika pertama menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia itu dan kami amat teruja untuk mempamerkan semua jenis kopi, teh dan coklat yang terdapat di Kenya. Peserta juga berpeluang bertemu juara dunia barista, pengeluar, pengedar produk di samping menikmati secawan kopi segar, teh dan coklat kegemaran,” kata Mutua.
Mutua berkata industri kopi dan teh antara penyumbang penting ekonomi Kenya selain mewujudkan jutaan peluang pekerjaan.
“Bagaimanapun, pihak pengubal dasar di Kenya mempunyai tugas getir untuk memastikan sektor ini terus kekal relevan dan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Menurut penganjur, festival CTC pernah diadakan di beberapa negara lain termasuk Qatar, Lubnan, India, China dan Oman. – Bernama, 3 Julai, 2019
Komen