Penyanyi rap ASAP Rocky ditahan di Stockholm kerana bergaduh 


Penyanyi rap dari Amerika Syarikat ASAP Rocky didakwa memukul seorang lelaki di Stockholm, Sweden. – Gambar EPA, 3 Julai, 2019

PENYANYI rap dari Amerika Syarikat ASAP Rocky ditahan di Stockholm minggu ini kerana disyaki melakukan serangan, selepas terlibat dalam pergaduhan yang dirakam dalam video, kata pendakwa raya Sweden pada Rabu.

Insiden itu berlaku pada Ahad dan ianya dirakam dalam video yang disiarkan portal berita hiburan TMZ.

Dalam video berkenaan, ASAP Rocky atau nama sebenarnya Rakim Mayers, dilihat memukul seorang lelaki dan menumbuknya beberapa kali ketika lelaki itu jatuh.

Pihak Berkuasa Pendakwaan Sweden berkata, artis terbabit ditahan berhubung insiden itu bersama tiga individu lain.

Pada Selasa, penyanyi terbabit turut memuat naik video insiden itu di Instagram, yang mana menurutnya ia menunjukkan punca pergaduhan itu berlaku.

Dalam video terbabit, penyanyi itu berulang kali meminta lelaki berkenaan dan rakannya menggunakan laluan lain.

ASAP Rocky berada di ibu negara Sweden itu untuk mengadakan konsert. – AFP, 3 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen