Azerbaijan mahu tingkatkan reputasi Nam


AZERBAIJAN merangkap pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Nam) akan menumpukan kepada tiga agenda utama, antaranya meningkatkan reputasi  pergerakan itu di pentas dunia, kata Menteri Luar Elmar Mammadyarov.

Beliau berkata keutamaan lain adalah mempromosi prinsip Bandung dan pengukuhan perpaduan dalam pergerakan yang mempunyai 120 anggota dan 17 negara serta 10 organisasi pemerhati.

“Saya yakin sebagai pengerusi Nam, ia dapat mewujudkan peluang tambahan bagi menonjolkan negara kami di peringkat antarabangsa. Nam dianggotai 120 negara, dua pertiga daripadanya terdiri anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), bermakna ia boleh mempengaruhi dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Menteri Luar Azerbaijan itu berkata dalam wawancara eksklusif dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama sempena 100 Tahun Khidmat Diplomatik Azerbaijan. 

Azerbaijan menyertai Nam pada 2011 dengan matlamat untuk membangunkan kerjasama antarabangsa.

“Dalam tempoh masa singkat, Azerbaijan bukan sahaja dapat mengetengahkan peranannya malah menjadi pengerusi untuk penggal 2019-2022,” katanya.

Mammadyarov berkata beberapa inisiatif yang dicadangkan Azerbaijan turut mendapat sokongan pada Mesyuarat Menteri-Menteri NAM pada April 2018 di Baku.

“Paling penting ialah penyelesaian konflik Armenia-Azerbaijan Nagorno-Karabakh, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa selaras dengan empat resolusi Majlis Keselamatan PBB,” katanya. 

Menjadi pengerusi Nam turut memberi peluang kepada Azerbaijan melaksanakan pelbagai inisiatif yang bersesuaian dan andai ia dipraktik akan dapat meningkatkan lagi reputasi negara di arena antarabangsa. – Bernama, 3 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen