EU setuju senarai calon ketuai institusi Eropah


PEMIMPIN 28 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa mencapai persetujuan mengenai senarai calon yang akan memimpin institusi Eropah, lapor agensi berita Croatia (HINA).

Antaranya ialah Menteri Pertahanan Jerman Ursula von der Leyen dicalonkan sebagai presiden Suruhanjaya Eropah, Perdana Menteri Belgium Charles Michel mengetuai Majlis Eropah, Christine Lagarde dari Perancis dicalonkan sebagai Presiden Bank Pusat Eropah dan Menteri Luar Sepanyol Josep Borrell sebagai wakil tinggi bagi hal ehwal luar dan dasar keselamatan.

Senarai calon itu diumum oleh Presiden Majlis Eropah Donald Tusk.

Pencalonan presiden suruhanjaya belum disahkan Parlimen Eropah, sesi undian akan dijalankan pada sesi pleno antara 15 dan 18 Julai. Andai cadangan Majlis Eropah itu gagal diluluskan di Parlimen, keseluruhan pencalonan tidak dapat diteruskan.

Bagaimanapun, presiden Majlis Eropah yang baharu Charles Michel akan mengambil alih jawatan pada 1 Disember, manakala Christine Lagarde akan mengetuai Bank Pusat Eropah selepas tempoh presiden Mario Draghi tamat. – Bernama, 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen