RM2 juta adalah 'bayaran pendahuluan' dari Tengku Adnan, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Akauntan dan pembantu pengurus kewangan Tadmonsori Holdings, Rabiatul Adawiyah Sobri memberitahu Mahkamah Tinggi wang tersebut dianggap sebagai wang pendahuluan dari Tengku Adnan yang merupakan pemegang saham terbesar Tadmansori Holdings Sdn Bhd. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Julai, 2019.

RM2 juta yang diberi oleh Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd adalah sebagai “off-set of account” dalam lejar am syarikat dan bukan diterima dari Aset Kayamas Sdn Bhd, kata saksi.

Akauntan dan pembantu pengurus kewangan Tadmansori Holdings, Rabiatul Adawiyah Sobri memberitahu Mahkamah Tinggi wang tersebut dianggap sebagai wang pendahuluan dari Tengku Adnan yang merupakan pemegang saham terbesar syarikat itu.

Apabila peguam bela, Tan Hock Chuan meminta Rabiatul menjelaskan terma “off-set of account”, saksi itu berkata “ia bermaksud wang dibayar oleh Tengku Adnan kepada syarikat”.

“Saya tidak masukkan ke dalam rekod rasmi yang duit itu dari Aset Kayamas Sdn Bhd kerana kedua-dua syarikat tidak ada hubungan perniagaan,” katanya.  

Rabiatul kemudian berkata Tadmansori Holdings juga menerima RM40,000 dari Umno sebagai deposit sewa.

“Tadmansori Holdings tidak pernah membayar Umno dan syarikat menerima RM40,000 dari parti kerana mereka menyewa gudang syarikat,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Tadmansori Holdings Hasbi Jaafar berkata beliau secara peribadi diberitahu oleh Tengku Adnan yang wang tersebut adalah dari Aset Kayamas sebagai sumbangan politik.

“Betul. Tengku Adnan beritahu saya begitu,” kata saksi pendakwa itu ketika disoal balas oleh Tan. – 3 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen