PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak prerogatif untuk melantik sesiapa yang dikehendakinya ke majlis tertinggi parti itu, kata Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.
“Ia dalam perlembagaan parti. Sekiranya perlembagaan menyatakan 10, beliau boleh melantik 10. Ia adalah hal mutlaknya. Saya tidak tahu apa kriterianya tetapi ia adalah prerogatif,” kata Ismail kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Zahid melantik empat ketua bahagian Umno dan seorang naib pengerusi bahagian dalam majlis tertinggi semalam, yang menimbulkan cakap-cakap bahawa beliau sedang membina sokongan dalam parti itu dengan melantik para pengikutnya.
Semua ketua yang dilantik ialah Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat), Johan Abd Aziz (Hulu Langat), Shaik Hussein Mydin (Bagan) dan Yaakub Khan (Sepanggar) bersama Timbalan Ketua Seputeh Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Pelantikan baru itu bagi menggantikan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman, Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun, Adun Sulaman Hajiji Noor, bekas Speaker Pandikar Amin Mulia, dan bekas menteri multimedia dan komunikasi Salleh Said Keruak.
Ismail, yang juga ketua pembangkang, turut menafikan bahawa Zahid kembali menjalankan tugas selepas cuti enam bulan akan memecahbelahkan Umno.
“Pulangnya tidak akan memecahbelahkan parti kerana beliau adalah presiden. Tindakannya bercuti tidak mengubah hakikat bahawa beliau adalah presiden yang dipilih.
“Beliau tidak pernah berhenti sebagai presiden walaupun sedang bercuti,” katanya. – 3 Julai, 2019.
Berita penuh di sini
Komen