Tajuddin konon nak jadi hero, kata timbalan speaker


Ravin Palanisamy

TIMBALAN Speaker Nga Kor Ming berkata mengikut Fasal 43 dan 44 Peraturan Tetap Parlimen, beliau diberi kuasa untuk menggantung Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2019.

TIMBALAN Speaker Nga Kor Ming  mempertahankan keputusannya menggantung Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kerana kerana mengganggu prosiding dan enggan mematuhi arahannya.

Menurut Nga, mengikut Fasal 43 dan 44 Peraturan Tetap Parlimen, beliau diberi kuasa untuk menggantung ahli Parlimen dari Umno itu.

“Sebagai Speaker Dewan Rakyat, kami mesti melindungi imej dan maruah Dewan. Oleh itu, saya menjalankan tugas saya mengikut Fasal 44 Perintah Tetap,” katanya kepada pemberita di luar Dewan Rakyat.

Nga berkata, beliau pada awalnya menggantung Tajuddin untuk dua hari selepas ahli Parlimen itu enggan mematuhi arahan. Nga menambah lagi dua hari selepas Tajuddin terus tidak mengendahkan arahannya.

“Saya beri dia 15 minit supaya keluar dari Dewan tapi dia tak keluar.

“Motif dia sangat jelas, mahu kurang ajar, mahu jadi hero. Tetapi saya rasa sikapnya itu sebaliknya menunjukkan dia zero,” tambah Nga.

Timbalan speaker itu juga berkata beliau bersikap neutral ketika membuat keputusan menggantung Tajuddin dan mengingtakan semua ahli Parlimen bahawa tindakan serupa juga akan diambil keada mereka jika tidak mematuhi arahan speaker.

“Saya memang neutral bila bekerja.

“Saya tidak teragak-agak akan ambil tindakan serupa kalau ahli Parlimen dari kerajaan juga bersikap seperti itu.” – 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen