PIHAK berkuasa ubat-ubatan Korea Selatan hari ini membatalkan permitnya bagi ubat terapi gen Invossa kerana salah label dan laporan palsu berkaitan sejenis bahan yang digunakan, lapor agensi berita Yonhap.
Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-ubatan berkata ia membuat keputusan muktamad untuk mengharamkan pengeluaran dan penjualan Invossa selepas membatalkan lesen bagi ubat yang dihasilkan Kolon Life Science pada lewat Mei serta mengarahkan penggantungan jualan pada April.
Pengharaman itu berkuat kuasa Selasa depan.
Kolon Life mengakui sejenis bahan dalam ubat rawatan bagi sakit sendi salah dilabelkan sejak 2003, dengan pihak berkuasa mendakwa syarikat itu sengaja tidak mendedahkan data tambahan yang ditemui mengenai masalah tersebut sebelum mengemukakannya untuk kelulusan.
Pengawal selia negara berkata pengeluar ubat itu gagal memberikan sebab saintifik bagi kekeliruan tersebut.
Sejenis bahan yang digunakan dalam Invossa, yang diluluskan untuk jualan pada 2017, berasal dari satu sel buah pinggang dan bukan rawan seperti yang dinyatakan dalam dokumen yang dikemukakan untuk kelulusan, menurut kementerian.
Ketika ini, tiada kes kesan sampingan yang dikaitkan dengan Invossa, namun orang ramai yang menerima rawatan akan dipantau rapi untuk tempoh lebih 15 tahun.
Sejumlah 438 hospital dan klinik memberikan 3,707 suntikan menggunakan ubat itu setakat ini. – Bernama, 3 Julai, 2019.
Komen