Tengku Adnan beritahu RM2 juta itu sumbangan politik, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd Mohd Hasbi Jaafar memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam kes rasuah membabitkan bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Julai, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa RM2 juta diterima oleh Tengku Adnan Tengku Mansor adalah sumbangan politik.

Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd Mohd Hasbi Jaafar berkata perkara itu disampaikan kepadanya oleh Tengku Adnan dalam satu perbualan telefon.

“Ia benar. Tengku Adnan beritahu saya begitu,” kata saksi pendakwa itu ketika disoal balas oleh peguam Tan Hock Chuan.

Hasbi berkata beliau ditunjukkan satu gambar cek menerusi pesanan aplikasi WhatsApp yang dihantar kepadanya oleh Tengku Adnan.

“Cek itu dikeluarkan oleh Aset Kayamas Sdn Bhd tetapi tidak ada hubungan perniagaan dengan Tadmansori,” katanya.

Tan bertanya Hasbi adakah beliau tahu tentang dua pilihan raya kecil (PRK) – di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang diadakan pada Jun 2016.

Hasbi berkata beliau tahu PRK diadakan pada 18 Jun, empat hari selepas cek RM2 juta dari Aset Kayamas dimasukkan ke akaun bank Tadmansori.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bertanya Hasbi adakah beliau disoal siasat oleh penyiasat agensi anti rasuah tentang wang yang menjadi sumbangan politik untuk dua PRK Parlimen itu.

Hasbi memberitahu mahkamah beliau tidak pernah ditanya oleh pegawai penyiasat adakah wang itu sumbangan politik. – 3 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen