Gantung sampai mati saya tak peduli, kata Tajuddin


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata tidak akan menuruti keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming yang menggantung kehadirannya selama empat hari bermula hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2019.

AHLI Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman menegaskan tidak akan menuruti keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming yang menggantung kehadirannya selama empat hari bermula hari ini susulan pertelingkahan ketika sesi perbahasan, hari ini.

Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata keputusan Nga itu tidak dikuatkuasakan terhadapnya, dan beliau bebas untuk menghadiri persidangan dalam tempoh itu.

“Dia (Nga) nak gantung saya gantunglah, gantung sampai mati saya tak kisah. Saya bebas nak bila nak masuk. Mungkin dia ada fikirkan semula (sama ada) nak gantung saya, satu, dua, empat atau 10 hari.

“Tidak ada gantung, tidak diputuskan, dia cuba tapi keputusan itu tidak dikuatkuasakan,” katanya, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tajuddin sebelum itu bertelagah dengan Nga, ketika sesi soal jawab lisan semasa persidangan Dewan Rakyat.

Tajuddin berkata Nga sengaja menghalang dirinya bertanyakan soalan tambahan dan mendakwa Nga sengaja “cari pasal” dengan dirinya, kerana anti kepada pembangkang.

“Isunya dia speaker halang ahli Parlimen tanya soalan bagi pihak rakyat. Sama ada saya bertindak tidak senonoh atau tidak, pada mata dia ya, pada mata rakyat saya tidak.

“Saya mangsa, bukan dia. Dia anti BN, pembangkang. Dia kata saya tidak senonoh kerana buat kenyataan menentang menteri, adakah saya tak senonoh?

“Apa ini…dia sengaja cari pasal dengan saya. Saya tak berminat. Beri peluang saya nak tanya soalan tambahan, dia tak benarkan, sudah tentu saya marah,” kata Tajuddin. – 3 Julai, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen