Timbalan speaker gantung ahli Parlimen Pasir Salak 4 hari


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

AHLI Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman digantung daripada Dewan Rakyat selama empat hari kerana mengganggu prosiding kira-kira 20 minit dan enggan mematuhi arahan Timbalan Speaker Nga Kor Ming untuk keluar Dewan.

Selepas berulang kali tidak mengendahkan amaran itu, Nga berkata Tajuddin digantung empat hari kerana bersikap tidak sewajarnya.

“Perintah sudah dikeluarkan. Sebagai seseorang yang bermaruah sila patuh peraturan prosiding,” kata Nga kepada ahli Parlimen Umno itu yang mengabaikan arahannya untuk keluar dari Dewan untuk kali kelima.

Tajuddin tidak keluar dari Dewan, bertegas mengatakan beliau ada soalan tambahan kepada menteri pertanian dan industri asas tani.

Nga berkata Tajuddin sepatutnya menggunakan masa diberikan dengan sebaik mungkin untuk bertanya soalan dan meneruskan waktu soalan menteri dengan wakil rakyat lain.

Nga juga berkata timbalan menteri boleh menjawab soalan bagi pihak menteri.

Tetapi Tajuddin berkata tidak adil kerana menteri hadir.

“Speaker tidak adil dan tidak menghormati rakyat. Menteri ada di sini, kenapa dia tidak jawab soalan?,” kata Tajuddin.

Nga kemudian berkata Tajuddin membazirkan masa Dewan dengan mengecam menteri itu, bukannya bertanya soalannya. Timbalan speaker kemudian meminta Tajuddin keluar Dewan.

Situasi itu mencetuskan perbalahan, dengan Tajuddin pula minta Nga untuk keluar.

“Speaker, sila keluar,” katanya. – 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen