OMAN menafikan mempunyai hubungan diplomatik atau membuka semula pejabat perwakilan komersial di Israel, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar Oman pada Selasa.
“Apa yang dilaporkan sesetengah media dan media sosial mengenai pewujudan hubungan diplomatik antara Oman dan Israel adalah tidak berasas sama sekali.
“Oman berhasrat untuk menggerakkan segala usaha untuk mewujudkan situasi diplomatik yang menyenangkan bagi memulihkan hubungan antara semua pihak di peringkat antarabangsa dan serantau ke arah mencapai keamanan antara Pihak Berkuasa Palestin dan kerajaan Israel, yang membawa kepada penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka,” menurut kenyataan itu.
Oktober lepas, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melawat Oman dan mengadakan rundingan dengan Sultan Qaboos di Muscat.
Oman dan Israel mewujudkan hubungan perdagangan pada tahun 1990-an, termasuk membuka pejabat-pejabat komersial sehingga Oman mengambil keputusan untuk menutupnya susulan kebangkitan kedua Palestin yang bermula pada 2000. – Bernama, 3 Julai, 2019.
Komen