Ia hanya konsep perniagaan, kata pemilik kedai dobi di Kangar


Looi Sue-Chern

Konsep hanya untuk Islam adalah semata-mata strategi pemasaran kerana dia mahu kedainya yang baru kurang dua bulan beroperasi itu berbeza dari kedai dobi lain di Kangar, kata pemiliknya. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September, 2017.

PEMILIK kedai dobi di Kangar, Perlis tidak menyangka perniagaannya akan mendatangkan masalah dengan pihak berkuasa walaupun dia membaca berita tentang kedai dobi dengan konsep yang sama di Muar.

Biar pun kedai dobi di Muar mendapat kritikan keras termasuk dari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Shalihuddin Naharuddin, 36, percaya perniagaannya tidak akan ada masalah.

Tetapi sehinggalah “Empire Laundry Hub” miliknya didatangi pegawai kerajaan negeriMufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin semalam.

“Mereka datang untuk tinjau kedai saya. Dr Asri beri saya nasihat, saya hormati pandangan dan nasihatnya sebab dia seorang mufti.

“Saya terima nasihatnya dengan hati yang terbuka. Saya sudah turunkan papan tanda (menyatakan ‘hanya untuk orang Islam’),” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Hanya strategi pemasaran

Di kedai dobi layan diri Shalihuddin terdapat satu tanda berbunyi: “Dobi ini hanya untuk kegunaan orang Islam”. Satu lagi ialah kedai itu berkonsepkan “dobi Islamik”.

Konsep hanya untuk Islam adalah semata-mata strategi pemasaran kerana dia mahu kedainya yang baru kurang dua bulan beroperasi itu berbeza dari kedai dobi lain di Kangar.

“Di Kangar saja, ada 14 kedai dobi. Saya cuma mahu buat kelainan.

“Sebenarnya, saya sangka tak ada kedai dobi untuk orang Islam di Malaysia, sehinggalah saya terbaca tentang kedai dobi di Muar.

“Saya tak berniat nak timbulkan masalah, mulakan kontorversi atau singgung sesiapa. Malah, sejak saya buka kedai awal bulan lepas, tak ada sesiapa yang tersinggung atau kritik saya,” katanya.

Shalihuddin berkata, orang bukan Islam yang datang ke kedainya tidak pernah kecewa dengannya apabila dia memberitahu kedainya hanya untuk pelanggan Islam.

“Saya hanya perlu terangkan polisi perniagaan saya kepada mereka dan tunjukkan mereka kedai dobi 24-jam yang letaknya 200m ke 300m saya.

“Mereka (bukan Islam) tak pernah marah. Mereka sangat memahami dan meminta maaf dan kata mereka tak tahu. Semua orang baik-baik saja,” katanya sambil menambah yang dia tidak pernah menerima maklum balas negatif.

Shalihuddin berkata jika dia mahu timbulkan kontroversi, dia akan mengambil gambar kedainya, siarkan dan umukannya di Facebook yang kedai dobinya adalah hanya untuk Islam.

Walaupun dobinya mempunyai laman Facebook, ia agak kosong tanpa gambar dan hanya sedikit status dikemas kini.

Tempat bagi komuniti Islam

Shalihuddin berkata ketika dia memperkenalkan konsep ‘hanya untuk Islam’, niatnya hanyalah untuk membina komuniti Islam dan memberi keselesaan kepada pelanggannya.

“Ada surau dalam kedai saya. Saya percaya tak semua kedi dobi ada surau. Di sini ada ruang duduk dan ruang tertutup bagi pelanggan yang mahukan privacy untuk melipat baju.

“Saya mahu beri mereka ruang untuk mereka berehat dan berbual.”

Katanya, sebelum kedai ini dibuka, dia telah bertanya kepada penduduk setempat tentang konsep kedainya, dan tiada siapa yang membantah.

“Saya bukannya nak buat masalah. Ini tiada kaitan dengan tidak mahu orang bukan Islam cuci baju yang ada bulu anjing atau apa saja seperti itu.”

Konsep baharu

Selepas dinasihatkan untuk menurunkan tanda ‘Islam sahaja’, Shalihuddin berkata dia akan fikirkan semula konsep kedai dobinya.

“Saya akan fikirkan satu pelan perniagaan yang baru yang dipersetujui semua pihak. Saya akan fikirkan cara lain untuk tonjolkan kedai dobi saya.

“saya belum ada sebarang idea lagi sekarang. Saya alu-alukan orang ramai untuk kongsikan pendapat mereka berkenaan kedai dobi saya di Facebook. Kongsikan idea anda dengan saya tentang bagaimana saya boleh perbaiki perniagaan saya.”

Terdahulu, The Star melaporkan Dr Asri menyiasat satu-satunya kedai dobi untuk orang Islam atas arahan Raja Muda Perlis.

Mufti itu dipetik sebagai berkata Perlis tidak bersetuju dengan sebarang bentuk pengasingan.

Minggu ini, seorang pemilik kedai dobi di Muar diselar oleh Sultan Johor kerana menjalankan perniagaan hanya untuk orang Islam.

Sultan Ibrahim berkata Johor bukannya sebuah negeri Taliban dan mencadangkan pemiliknya berpindah ke Afghanistan jika mahu meneruskan perniagaan ‘hanya untuk Islam’nya.

Pemilik Elit Laundry memohon maaf kepada Sultan dan rakyat Johor, sambil mempertahankan yang polisi kedainya adalah di atas permintaan pelanggan. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen