USAHA memartabatkan seni dan sastera Melayu tidak cukup dengan hanya kerajaan memberi pengiktirafan kepada sasterawan negara, kata Lim Kit Siang, merujuk pada elaun bulanan yang diumumkan Kementerian Kewangan baru-baru ini.
Pemimpin veteran DAP itu berkata kerajaan, serta rakyat bertanggungjawab memberi sokongan kepada seni dan sastera demi pembinaan negara bangsa.
“Ini tanggungjawab kita bersama dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia,” katanya berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri meraikan penggiat seni dan sastera di Kuala Lumpur, malam tadi.
“Kita rakyat Malaysia perlu memberi sokongan kepada sastera dan seni untuk memastikan ia terus mekar.
“Kerajaan dan parti politik juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini,” katanya.
Majlis anjuran Lim dan Sasterawan Negara A Samad Said itu dihadiri antaranya Sasterawan Negara Muhammad Salleh, Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, dan Zurinah Hassan.
Lim dalam ucapannya turut berharap majlis malam tadi menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih rapat di antara DAP dengan penggiat seni dan sastera.
Kementerian Kewangan pada 24 Jun lepas mengumumkan peruntukan elaun RM5,000 sebulan kepada tujuh sasterawan negara, antara lain sebagai penghargaan atas usaha mereka membina Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penyatuan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong berkata majlis seumpama itu usaha DAP mendekati dan menghargai golongan sasterawan dan penggiat seni.
Katanya, DAP sentiasa mahu mendekati golongan itu tetapi tidak berpeluang melakukannya sebelum ini.

“Kita ambil inisiatif untuk mendekati mereka. Mungkin kita lihat sebagai mendekati masyarakat Melayu tetapi yang lebih penting ialah apa yang diwakili mereka yang hadir hari ini iaitu sastera dan seni, yang merupakan jiwa bangsa kita.
“Saya rasa itu lebih penting daripada melihat untuk mendekati Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sim berkata penganjuran program tersebut adalah idea Lim, yang juga penasihat DAP.
“Jadi dengan mengambil peluang Aidilfitri ini juga dan hasrat daripada saudara Lim Kit Siang kita ambil kesempatan mengajak orang sastera dan seni sebagai langkah pertama untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat,” tambahnya.
Sim berkata hasil maklum balas yang baik daripada program malam tadi, pihaknya akan menganjurkan lebih banyak program lain bersama golongan sasterawan dan penggiat seni selepas ini.
“Selepas ini akan ada lebih banyak interaksi sama ada daripada program (seperti ini) atau program perbincangan dasar bagi memperkukuhkan bidang seni dan sastera,” katanya.
Majlis rumah terbuka itu dihadiri lebih 50 orang disertai antaranya Pyanhabib, Faisal Tehrani, pelakon dan pengarah filem Bront Palare.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Sallehuddin Abang Shokeran, dan Pengurus Besar Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Sakri Abdullah. – 3 Julai, 2019.

Komen