Hong Kong bergelut dengan protes, China desak siasatan jenayah


Seorang anggota polis kelihatan berjalan di depan Parlimen Hong Kong selepas bangunan itu rosak dirempuh penunjuk perasaan kelmarin. – Gambar AFP, 3 Julai, 2019.

HONG KONG semalam masih bergelut dengan pasca insiden protes anti kerajaan yang kali pertama berlaku hingga Parlimen dirempuh, dan pada masa sama Beijing mendesak siasatan jenayah dilakukan susulan rakyat mencabar autoritinya.

Hab kewangan separuh autonomi itu berdepan krisis susulan demonstrasi berminggu-minggu diadakan sebagai bantahan terhadap rang undang-undang (RUU) yang bakal membendarkan ekstradisi ke tanah besar China, dengan masalah itu menjadi bertambah teruk dan jelas kebencian terhadap Beijing.

Pada Isnin – ulang tahun ke-22 penyerahan kota itu kepada China – kemarahan sudah tidak dapat dikawal lagi menyebabkan kumpulan penunjuk perasaan kebanyakan golongan muda, merempuh masuk ke bangunan Majlis Perundangan.

Mereka menggantung bendera era kolonial di dewan perbahasan, menulis mesej di dinding “Hong Kong bukan China”, dan menyembur cat di bangunan itu.

Polis kemudian menyerbu masuk selepas tengah malam dan mengambil alih semula kawalan.

Insiden itu menunjukkan cabaran yang pertama terhadap pemimpin China, Xi Jinping dan semalam Beijing mengarahkan Hong Kong menyiasat siapa yang bertanggungjawab terhadap keganasan itu.

Presiden AS Donald Trump juga campur tangan dalam hal itu dan berkata penunjuk perasaan mahukan demokrasi tetapi ada sebahagian kerajaan yang tidak mahukan demokrasi.

Hong Kong gempar dengan protes besar-besaran sepanjang tiga minggu lalu. Himpunan itu termasuk perarakan besar pro-demokrasi pada Isnin – perhimpunan aman yang mendesak ketua eksekutif Hong Kong yang dilantik oleh Beijing, Carrie Lam meletak jawatan.

Lam pada masa ini enggan menggantung undang-undang ekstradisi itu secara kekal atau meletak jawatan.

Lam yang pada masa ini tidak mendapat sokongan ramai, mengutuk “penggunaan keganasan yang ekstrem”, menyifatkan vandalisme itu sebagai mengecewakan dan mengejutkan. – AFP, 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen