Kapal selam tentera Rusia terbakar, 14 maut


Sebuah kapal selam mini Rusia dilaporkan terbakar dan 14 anak kapal terdiri daripada anggota tentera laut maut. – Gambar fail EPA, 3 Julai, 2019.

SERAMAI 14 anggota tentera laut Rusia maut dalam kebakaran di kapal selam laut dalam, kata Kementerian Pertahanan Rusia semalam, ketika laporan media tempatan berkata kapal itu ialah kapal selam mini rahsia yang menggunakan kuasa nuklear.

Pihak berkuasa Rusia tidak memberikan banyak maklumat tentang kapal itu atau punca kemalangan, tetapi kehadiran ramai pegawai kanan menunjukkan ia bukan kejadian biasa.

Kementerian Pertahanan berkata 14 anak kapal terbunuh pada Isnin kerana menghidu asap beracun selepas kebakaran berlaku di kapal selam laut dalam bagi penyelidikan saintifik, yang bertugas mengkaji dasar laut di wilayah perairan Rusia di utara.

Namun, akhbar Novaya Gazeta memetik sumber sebagai berkata kemalangan itu berlaku di kapal selam mini nuklear AS-12, yang berkeupayaan turun ke dasar paling dalam.

Pihak berkuasa radiasi Norway berkata Rusia memaklumkan berlaku letupan gas di kapal selam itu – satu dakwaan dinafikan oleh Moscow.

Presiden Vladimir Putin mengarahkan siasatan penuh dilakukan terhadap tragedi itu, kemalangan terbaru yang dialami tentera laut Rusia.

“Ia satu kerugian besar untuk tentera laut, dan tentera keseluruhannya,” kata Putin. Pada 2000, tahun pertama Putin menjadi presiden, kapal selam Kursk karam menyebabkan 118 anggota maut. – AFP, 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen