NIKE menarik balik kasutnya yang memaparkan versi awal bendera Amerika Syarikat (AS) dengan media melaporkan keputusan itu dibuat selepas bekas penyerang NFL Colin Kaepernick berkata rekaan itu berkait dengan perhambaan.
Nike melancarkan Air Max 1 USA menampilkan rekaan era Revolusi Amerika dikenali sebagai bendera Betsy Ross dicetak di bahagian tumitnya sempena sambutan hari kemerdekaan 4 Julai AS.
Nike memutuskan untuk menggantung pengagihan Air Max 1 Quick Strike sempena 4 Julai kerana bimbang ia akan secara tidak sengaja menyinggung atau menjejaskan hari patriotik negara, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
The Wall Street Journal melaporkan syarikat gergasi pakaian sukan AS itu menarik balik kasut berkenaan susulan bantahan Kaepernick, yang mengetuai protes dengan melutut ketika lagu negara itu dimainkan di sukan NFL pada 2016 sebagai bantahan terhadap ketidaksamaan kaum dan ketidakadilan sosial.
Protes Kaepernick itu mendapat perhatian negara dan mencetuskan kritikan daripada Presiden Donald Trump yang menggesa pemilik NFL untuk memecat pemain yang berlutut ketika lagu negara dimainkan.
Kaepernick berkata rekaan menampilkan 13 bintang putih dalam satu bulatan itu sangat menyinggung kerana ia ada kaitan dengan zaman perhambaan, di mana ia adalah sah mengikut undang-undang di AS selepas bebas daripada Britain.
Nike sudah menghantar kasut itu kepada penjual tetapi minta dipulangkan semula, dan menurunkan rekaan itu daripada laman webnya. – AFP, 3 Julai, 2019.
Komen