SEBUAH dinding runtuh dan menyebabkan sekurang-kurangnya 22 terbunuh di Mumbai semalam ketika hujan monsun paling lebat dalam tempoh sedekad melanda ibu kota kewangan India itu dan kawasan sekitarnya.
Sejumlah besar yang lain cedera dalam insiden itu apabila struktur bangunan itu runtuh tengah malam semalam di sebuah kawasan setinggan, kata jurucakap pengurusan bencana pihak berkuasa Mumbai, Tanaji Kamble.
Lewat tengah malam semalam, seorang lagi maut akibat kecederaan dialami, lapor Press Trust of India.
Tragedi itu berlaku ketika hujan lebat melanda bandar yang mempunyai populasi 20 juta orang, dua hari berturut-turut.
Pihak berkuasa mengisytiharkan semalam sebagai cuti umum dan menasihatkan semua penduduk tidak keluar rumah. Sekolah dan kolej ditutup sementara lebih 100 penerbangan dibatalkan.
Landasan utama lapangan terbang ditutup selepas sebuah pesawat SpiceJet membawa 167 penumpang dan anak kapal melewati landasan kerana hujan lebat.
Syarikat swasta ramalan cuaca berkata Mumbai menerima kira-kira 350ml (13 inci) hujan sepanjang malam hingga pagi Selasa, paling banyak dalam tempoh sedekad.
Hujan terlalu lebat itu menyebabkan kawasan rendah tenggelam.
Kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal berhampiran sungai Mithi dipindahkan ke kawasan tinggi kerana bimbang air sungai melimpah, kata Kamble. – AFP, 3 Julai, 2019.
Komen