Polis selamatkan saudara presiden Nigeria yang diculik


POLIS di Kano, bandar di utara Nigeria menyelamatkan saudara kepada Presiden Muhammadu Buhari daripada penculik, membebaskannya selepas saling berbalas tembakan dengan penculiknya.

Anggota khas polis menyerbu tempat persembunyian di pinggir Kano petang Isnin, di mana Musa Umar ditahan sejak ditangkap pada 2 Mei.

Selepas berjam-jam berbalas tembakan, Umar diselamatkan tanpa cedera, penjahat ditahan dan senjata api serta peluru dirampas, kata jurucakap polis Kano, Haruna Abdullahi.

Umar, yang berkahwin dengan anak saudara Buhari, ditangkap oleh empat lelaki bersenjata dan dipaksa masuk dalam sebuah kereta yang berada di luar rumahnya di Daura, kampung halaman presiden.

Seorang pegawai polis yang tahu tentang operasi menyelamat itu berkata penculik menuntut tebusan AS$11 juta menerusi rundingan di telefon yang dipantau oleh anggota keselamatan.

Sebanyak 11 anggota geng itu ditahan dan seorang terbunuh ketika berbalas tembakan, kata sumber.

Kawasan perumahan Gangan Ruwa di bandar itu dikawal ketat polis dalam usaha menahan suspek yang terlepas, kata Abdullahi.

Menculik untuk mendapatkan tebusan sering berlaku di wilayah kaya minyak itu, di mana geng penjenayah menangkap ekspatriat pekerja syarikat minyak dan rakyat Nigeria yang kaya sebagai pertukaran untuk bayaran yang besar.

Penculikan Umar yang pertama di bandar kediaman Buhari dan kali kedua individu berkait dengannya menjadi sasaran.

Pada Mac, Ahmad Suleiman, seorang ulama dan sekutu rapat Buhari diculik bersama lima yang lain ketika dalam perjalanan di lebuh raya.

Penculik menuntut tebusan AS$840,000. – AFP, 3 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen