OPERASI memburu migran haram di 10 buah bandar raya di Amerika Syarikat (AS) yang ditangguhkan sebelum ini akan dilaksanakan 4 Julai nanti, kata Presiden Donald Trump pada Isnin, lapor agensi berita Xinhua.
“Selepas 4 Julai nanti ramai yang akan dibawa keluar,” kata Trump kepada wartawan pada majlis menandatangani pembiayaan sempadan bernilai AS$4.6 bilion untuk menangani kemasukan migran dari Amerika Tengah di sempadan Amerika Syarikat-Mexico.
Bulan lalu, Trump memutuskan menangguhkan operasi itu selama dua minggu, untuk melihat sama ada anggota parlimen Republik dan Demokrat dapat mencari jalan penyelesaian berhubung undang-undang baharu mengenai suaka yang menerima tentangan Demokrat.
Operasi oleh Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) akan dijalankan di 10 bandar raya termasuk Los Angeles, Houston, Chicago, Miami, New York dan San Francisco untuk menahan sehingga 2,000 keluarga migran yang telah menerima perintah pengusiran. – Bernama, 2 Julai, 2019
Komen